anak melecur kaki dan tangan akibat gas memasak bocor



Segamat: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur 18 peratus badannya akibat disambar api dapur gas yang mengalami kebocoran di rumahnya di Taman Ria, Jementah, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, Muhammad Rezamien Shah Rizam melecur di kedua-dua kaki dan tangan kanan ketika cuba menutup dapur berkenaan selepas mencium bau gas yang kuat ketika bersendirian di rumah.

Menurut ibunya, Siti Zaharah Mohamed Shariff, 30, kejadian berlaku ketika dia menghantar anak lelaki sulungnya yang berusia 12 tahun ke sekolah agama yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah, manakala suaminya, Shah Rizam Saman, 31, berada di gerai makanan yang diusahakannya di pekan Jementah.

Katanya, kira-kira 10 minit kemudian dia kembali dan mendapati Muhammad Rezamien sedang meraung kesakitan sambil ditenangkan jiran yang juga suami isteri warga emas.

“Sebaik sampai di rumah, saya nampak Muhammad Rezamien dibalut dengan selimut sambil menangis kesakitan dan apabila ditanya dia memberitahu terkena api dapur akibat gas memasak bocor.

“Dengan bantuan jiran, Muhammad Rezamien dibawa ke Pusat Kesihatan Kecil di Jementah dengan menaiki kereta untuk menerima rawatan, sebelum dirujuk ke Hospital Daerah Segamat (HDS) memandangkan keadaan melecur yang agak teruk,” katanya.

Siti Zaharah berkata, mujur ketika kejadian anak perempuan bongsunya berumur lima tahun sudah dihantar ke rumah pengasuh kerana menurut jiran mereka mendengar letupan dari dapur dipercayai akibat gas memasak yang bocor itu.

Dia mengakui menggunakan dapur untuk menggoreng ayam sebelum keluar menghantar anak ke sekolah tetapi yakin sudah menutup dapur sebaik digunakan.

“Walaupun Muhammad Rezamien melecur teruk di kaki dan tangan kanan, saya bersyukur kerana dia selamat. Cuma dia kelihatan trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip serta Biro Kebajikan UMNO Segamat.

Sementara itu, Pengarah HDS Dr Aman Rabu berkata, Muhammad Rezamien memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih daripada melecur dan perlu menjalani kaunseling akibat trauma.

Katanya, secara keseluruhannya keadaan kanak-kanak itu bertambah baik selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dan pemantauan dilakukan bagi memastikan mangsa dapat pulih segera.


http://projekmssp.blogspot.my/2015/10/untuk-30-terawal-sahaja-sebelum-projek.html
0 Komentar untuk "anak melecur kaki dan tangan akibat gas memasak bocor"

 
Copyright © 2014 Wana Viral - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info